Prakata

Dalam tahun kebelakangan ini, kerajaan kita telah mula menitikberatkan pembangunan pembelajaran dalam kalangan rakyat supaya seiring dengan perkembangan ekonomi negara demi mencapai wawasan 2020. Dengan adanya generasi yang berpendidikan, sesebuah negara dapat terus menuju ke arah kecemerlangan.

Proses pembelajaran tidak harus hanya terhenti di dalam bilik darjah sahaja malah manusia sentiasa perlu belajar sehingga ke akhir hayat. Semua individu tanpa mengira peringkat umur dan pangkat harus terus belajar demi kemajuan dan kesempurnaan diri. Justeru itu, sepatutnya tiada batasan atau had dalam proses pembelajaran. Malah, dalam keadaan realiti, sesetengah individu menghadapi kesulitan dalam proses pembelajaran akibat faktor-faktor seperti peluang masa, tempat, kewangan, dan sebagainya.

Oleh kerana memegang kepada prinsip “semua individu berhak belajar tanpa disekat oleh faktor apa juapun”, di bawah penyelidikan universiti yang bertajuk “Kepimpinan Guru Yang Berkesan Dalam Program Integrasi Pendidikan Khas”, satu program untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan guru dalam program integrasi pendidikan khas telah dihasilkan dan di muat naik dalam laman web e-learning ini. Program tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk belajar tentang kepimpinan guru pendidikan khas di negara kita. Laman web e-learning ini berkonsep terbuka dan sesiapa yang berminat boleh belajar dari laman web ini secara percuma. Laman web ini juga berkonsep fleksibel iaitu tiada had masa yang tetap dan individu boleh melayari laman web ini pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Program ini mengandungi empat modul iaitu Modul 1: Mewujudkan Tenaga Di Dalam Bilik Darjah; Modul 2: Membina Keupayaan Pemahaman Guru Pendidikan Khas Mengenai Murid Bermasalah Pembelajaran; Modul 3: Menjamin Persekitaran Pembelajaran Yang Membina Bagi Murid Bermasalah Pembelajaran; dan Modul 4: Kolaborasi Dan Kepimpinan Guru Pendidikan Khas. Isi kandungan yang terdapat dalam keempat-empat modul tersebut bertujuan untuk memberi satu gambaran yang lengkap mengenai peranan guru pendidikan khas, sekolah, ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan dalam membantu murid bermasalah pembelajaran untuk terus belajar dan menuju ke arah kehidupan yang lebih produktif dan berkualiti.

Diharap juga keempat-empat modul tersebut dapat dijadikan bahan rujukan dan garis panduan bagi guru pendidikan khas dan sesiapa yang berminat untuk menyertai dalam pembelajaran yang berterusan.

Selepas habis membaca bahagian-bahagian tertentu, latihan refleksi kendiri disediakan untuk membantu anda mengulangkaji apa yang telah dipelajari. Selepas habis membaca satu modul, anda digalakkan untuk mengambil ujian yang mengandungi 40 soalan objektif (multiple choices questions). Target markah kelulusan bagi setiap ujian objektif adalah 80%, iaitu 32 daripada 40 soalan objektif. Markah kelulusan ini akan tercatat dalam profil anda jika anda berjaya lulus dalam setiap modul. Kepada peserta yang berjaya menghabiskan pembelajaran dan lulus dalam keempat-empat modul, anda akan diberikan satu sijil penyertaan sebagai tanda usaha gigih anda mencari ilmu. Bagi peserta yang tidak berupaya untuk mencapai target markah kelulusan yang ditetapkan, anda digalakkan untuk terus mencuba sehingga berjaya. Tiada had percubaan bagi peserta untuk menjawab ujian objektif bagi setiap modul sehingga lulus.

Program ini adalah hasil daripada geran Penyelidikan Universiti (Research Univesity – RU) (No. Akaun: 1001/PGURU/811045) Universiti Sains Malaysia (USM) yang menanggung kos penyelidikan saya agar saya dapat menjalankan penyelidikan, mengenalpasti keperluan guru-guru pendidikan khas dalam aspek kepimpinan, lalu menghasilkan program tersebut untuk melengkapi kompetensi semua yang terlibat. Kejayaan e-learning ini adalah disebabkan oleh pihak USM yang sudi menghoskan laman web e-learning ini di bawah payung besar sistem laman web USM.

Terima kasih ditujukan kepada Prof. Madya Dr. Tang Keow Ngang, Puan Peh Choon Moi dan Cik Ong Bee Lin yang telah berusaha membantu saya menghasilkan program tersebut. Terima kasih juga ditujukan kepada guru-guru Pendidikan Khas dan penyelaras Program Integrasi Pendidikan Khas iaitu Puan Vivien Pitchai, Encik Lim Pik Hian, Puan Ooi Phoy Phoy, Puan Teow Cheng Poo, Puan Rodiah Bt Abd Ghafar, Puan Siti Maryam Bt Zainuddin, Puan Siti Zahirah Bt Khusairi Bin Ismail, Puan Yong Mei Li, Puan Nor Rizah Bt Abdul Rahim, Puan Mera Syuhana Bt Mahamud, Encik Anas Sabri Bin Ghazali, Puan Irfa Bt Abdul Rahman, Puan Norziewati Bt Daud, Puan Sarina Bt Reduan, Encik Mohammad Zaidi B. Md. Mokhtar dan Encik Mohd Khairul Anuar Bin Che Adnan kerana telah berusaha memberi input penting dan membuat semakan terhadap kandungan keempat- empat modul dalam program ini. Akhir sekali, ucapan terima kasih ditujukan kepada pegawai-pegawai saya yang terlibat iaitu Puan Lee Mei Kian, Cik Nor Azanuda Bt Muhamad Azhari dan Cik Chuah Joe Yin.

Dengan itu, saya akhiri dengan ucapan ribuan terima kasih dan selamat belajar.

Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey
Ketua Penyelidik